Thursday, September 15, 2011

Tergempar - Lima Kedai Usang Musnah

Asiah meninjau kawasan kebakaran diiringi Choo (kanan)
dan Eng (dua dari kiri) di Jalan Tun Sri Lanang.

Kebakaran di Jalan Tun Sri Lanang babitkan kerugian RM1.5 juta

KOTA TINGGI: Sederet lima kedai usang binaan separa kayu, musnah akibat kebakaran yang menyebabkan kerugian lebih RM1.5 juta dalam kejadian dekat Jalan Tun Sri Lanang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kebakaran terbabit memusnahkan sebuah kedai tayar, restoran, aksesori kenderaan dan alat ganti motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ismail Latif, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 1.5 kilometer dari pusat bandar ini bersama tiga jentera dan dua kenderaan utiliti.

Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit daripada merebak ke deretan bangunan binaan yang pernah dijadikan rumah sewa dan bengkel kenderaan serta pertukangan besi yang terletak bersebelahan tempat kejadian.

“Api marak disebabkan rumah kedai terbabit menempatkan simpanan tin minyak enjin, cat kenderaan, aerosol dan aksesori serta alat ganti kenderaan.

“Setakat ini, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. Tiada mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian ini kerana ketika kebakaran, pengusaha perniagaan di premis ini tidak tinggal di sini, ” katanya di tempat kejadian, awal pagi semalam.
Dalam usaha anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran terbabit, beberapa letupan kecil kedengaran disertai api menjulang tinggi dipercayai akibat tin cat, aerosol dan minyak kenderaan yang meletup dan disambar api.

Pengusaha restoran, Omar Ali, 49, yang mengendali perniagaan di situ sejak lebih 10 tahun lalu, berkata kejadian itu menyebabkan beliau hilang sumber pencarian.

“Kebakaran ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM36,000 apabila semua harta benda dan kelengkapan perniagaan tidak dapat diselamatkan," katanya.

Pemilik kedai tayar, Choo Hong Liam, berkata kebakaran terbabit menyebabkan beliau kerugian RM500,000 apabila semua stok tayar dalam simpanan di kedai itu bersama mesin pengendalinya musnah.

“Saya yang tinggal di Taman Kota Jaya, bergegas ke sini sejurus mengetahuinya kira-kira jam 4.50 pagi apabila dihubungi jiran hadapan kedai yang terbakar.

“Api marak dengan kuat dengan kedai saya mempunyai banyak simpanan tayar baru dan lama. Mesin dan peralatan saja bernilai RM200,000, manakala tayar dan aksesori lain bernilai RM300,000," katanya yang berniaga di di situ sejak 1976.

Pemilik kedai motosikal, Eng Kim Pau, 64, mendakwa kerugian kira-kira RM1 juta apabila dua pintu kedainya yang dipenuhi aksesori dan alat ganti motosikal dan sebuah lagi dijadikan stor peralatan lain musnah sama sekali dalam kejadian ini.

“Nasib saya kurang baik kerana semua barangan yang disimpan ini tidak dilindungi insurans," katanya yang berniaga di situ sejak premis terbabit didirikan pada 1975.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md Ariff, turut meninjau lokasi kebakaran terbabit sambil menghulurkan sumbangan tanda simpati kepada semua mangsa ekoran kebakaran yang berlaku.

Sumber : BH.

Related Posts

Tergempar - Lima Kedai Usang Musnah
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.